MOTIVASI UNTUK ADIK-ADIK SMKB

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani…

Alhamdulillah…hampir 4 tahun meninggalkan bumi SMB, masih diberi ruang dan peluang untuk berkongsi pengalaman dengan adik-adik di sekolah..Alhamdulillah..

Menghampiri tahun akhir di USM pada semester hadapan membuatkan saya mengingati kembali detik-detik awal menjejakkan kaki di kampus ini. Gembira, terharu, sedih bercampur baur. Tahun kedua di sini, kampus ini di naiktaraf sebagai universiti APEX. Semuanya menuntut kecemerlangan dan kredibiliti pelajar dari segenap aspek. Pelbagai cabaran, suka duka dalam berpersatuan, jatuh bangun dalam akademik..indah dan menyeronokkan. Marilah adik-adik, bulatkan tekad, kuatkan azam, suatu hari adik-adik pasti di sini. InsyaAllah..

Mengimbau kembali zaman persekolahan, keputusan SPM yang hanya cukup-cukup makan membuatkan saya tidak berpeluang ke mana-mana pun. Bahagian kemahiran bukanlah pilihan. Sibuk juga memohon IPT ke sana-sini. Alhamdulillah…taqdir Allah, saya memilih untuk menyambung ke peringkat STPM. Di bumi SMB..segalanya berubah apabila saya mengubah diri sendiri. Seawal 6 rendah (6R2 : pakej Syariah, Bahasa Melayu, Sejarah, Pengajian Am, MUET), saya telah berusaha dengan bersungguh. Bukan main-main. STPM bukan main-main. Saya ada ayah dan ibu yang semakin tua. Saya ada seorang kakak yang masih membujang berkorban untuk kami. Saya masih ada 3 orang adik yang masih belajar. Saya anak penoreh. Ayah saya buta huruf. Kalau masih main-main, saya bukan hamba Allah yang baik, bukan ummat Muhammad yang baik, bukan anak yang baik, bukan adik dan kakak yang baik!. Siapa pun kita, siapa pun adik-adik, kita perlu menjadi muslim yang terbaik. Di sinilah bermula, semangat membara ingin berjaya. Ibu bapa penguat utama. Saya mahukan mereka bangga.

6 Rendah lagi saya bermula. Buku rujukan saya pastikan cukup, tanpa meminjam tanpa fotostat. Saya tidak suka belajar dengan menumpang dan meminjam. Latihan yang diberi saya selesaikan tanpa bertangguh. Subjek yang saya lemah, saya banyakkan latihan. Duit yang saya peroleh daripada biasiswa, saya gunakan membeli buku rujukan dan buku latihan, saya peruntukkan sebahagiannya untuk membeli susu anlene buat ibu, sedikit perkakas sekolah untuk adik-adik. Saya tahu ibu marah..tapi, ajarlah diri adik-adik, ajar diri memberi terutamanya kepada keluarga sendiri. Bukan beli baju! Bukan beli material ‘make-up’! bukan beli ‘handphone’! Bukan bersuka ria! Biasiswa yang diberi itu amanah.

Dalam kelas, waktu belajar, belajarlah. Waktu senggang, terpulang. Kalau adik-adik nak cemerlang, sudah tentu waktu senggang itu dimanfaatkan. Saya beruntung, rakan sekelas bermatlamat yang sama. Ini langkah terakhir kami untuk lompat ke ijazah. Saya bangga, di tingkatan 6 atas, hanya tinggal kami 28 orang. Dengan jumlah ‘hero’ seramai 6 orang. Semuanya berjaya. 24 daripada jumlah ini berjaya ke menara gading. 3 lagi di profesion sains kesihatan dan seorang berjawatan pegawai penjara. Di sini, saya tegaskan, kerjasama antara adik-adik dengan rakan sekelas sangat penting. Berdikari jika ketiadaan guru. Sayangi rakan sekelas. Berjanji sesama sahabat, ‘kita pasti di menara gading!’. Kelas kami berdekatan dengan surau. Tiba waktu rehat, pasti ramai-ramai ke surau. Solat dhuha. Pantang ‘free’, pasti surau atau perpustakaan mini tingkatan 6 yang jadi tempat bertapa. Kaki lima, tepi longkang, pondok, bawah pokok, semuanya mengambil posisi masing-masing untuk menghafal subjek ustaz Wahab. Dalam kelas, saya suka menjawab pertanyaan guru, saya bersedia awal. Bila cikgu mengajar, saya sudah tahu. Terutamanya subjek syariah dan sejarah. Itu di kelas dan sekolah. Saya antara pelajar yang selalu sampai lewat ke sekolah kerana jarak perjalanan jauh. Saya juga satu-satunya pelajar yang selalu minta kepada guru untuk pulang awal kerana susah mendapat bas.

Di peringkat STPM, saya menjadi manusia yang sangat sayangkan masa. Tiada lagi TV, tiada lagi tidur yang berlebihan. Tiada lagi makanan yang mengantukkan. Pulang dari sekolah, saya bersiap untuk bersihkan diri dan solat. Kemudian tidur, kalau lapar sangat, saya makan dahulu. Saya perlu tidur kerana waktu aktif saya adalah di awal pagi, malam dan sepertiga malam. Saya akan bangun sebelum asar. Solat dan siapkan kelengkapan sekolah untuk esok hari. Malam saya belajar. Siapkan kerja sekolah. Buat nota-nota ringkas. Belajar untuk bab yang akan disentuh esok. Saya dah tak ada masa. Apabila saya terbiasa dengan keadaan begini, sampai satu ketika di pertengahan 6 atas, apabila saya putus harap dan diserang sakit malas yang amat sangat, saya bercakap dengan diri sendiri “ana, dah stat lama kan, lama dah, dari 6 rendah lagi, takkan nak layan rasa malas sekarang, berusaha selagi ada masa, 3 bulan tak mustahil untuk dapat 4A. lihat, kita akan termotivasi sendiri. Tidak perlu program! Program hanya ‘booster’.. Adik-adik yang tentukan nasib sendiri. Semuanya bergantung pada diri sendiri.

Peperiksaan semakin hampir. Taqarrub dengan Allah semakin kuat. Latihan diperbanyakkan untuk subjek Pengajian Am dan Bahasa Melayu. Istilah-istilah dalam subjek Syariah menjadi bualan harian dengan rakan sekelas. Skima jawapan bagi subjek Sejarah dikumpul sebanyak mungkin untuk menampung bahagian isi yang kurang. Budaya berusaha menjadi-jadi di 6A2 ketika itu. Sangat indah, manis dan menyeronokkan waktu itu. Hidup dalam komuniti yang bermotivasi, sebahagiannya merupakan pemimpin-pemimpin utama sekolah, soleh solehah, tiada masalah disiplin, bersemangat tinggi. Hasilnya..Subhanallah. Dua daripada kami mendapat 4A. Saya yang terbaik. 4 flat. Ibu bapa saya bangga. Jiran-jiran menghadiahkan doa. Allah perlihatkan hikmah saya sakit sepanjang peperiksaan SPM dua tahun sebelum itu. Benarlah firman Allah:

“Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakkal” Ali Imran: 160

Adik-adik, tidak ada perkara yang percuma di dunia ini. Kejayaan harganya pengorbanan. Jangan buang masa. Allah bersumpah dengan masa. Sebegitu sekali pentingnya masa. Sesaat yang pergi, bayar sejuta pun ia takkan kembali. Jika adik-adik bertanya apa rahsia saya, saya sendiri tidak mempunyai jawapan yang memuaskan hati. Yang saya tahu, hidup perlu berbakti dan memberi. Pesan saya walau di mana pun adik-adik berada, junjunglah Islam. Teruskan memberi manfaat dan berbakti kepada makhluk Allah yang lain di muka bumi ini. Salam kasih sayang. Semoga cemerlang dalam setiap lapangan. Sekian sedikit perkongsian dari insan yang faqir lagi hina:

Siti Rohana bt Che Itnain

4 A STPM 2006

Tahun 4

Program Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan (Sejarah/Bahasa Melayu)

Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan

Universiti Sains Malaysia, Kampus Induk, Pulau Pinang.

0 comments:

Post a Comment